Tuesday, May 5, 2009

Sistem Politik Negara : Satu Penilaian Semula

“Sesiapa sahaja yang bangun pagi dengan gapaianya bukan kerana Allah maka ia bukanlah hamba Allah, dan siapa sahaja yang bangun pagi namun tidak mempedulikan urusan kaum Muslimin lain maka ia bukan dari kalangan mereka.” (Hadis Riwayat, al-Hakim)
Assalamualaikum dan salam muhibah. Sistem politik bukan sahaja berlegar mengenai kuasa seperti mana teori Max Weber (Class, Status and Party) , politik juga bukan hanya mementingkan perihal ekonomi sepertimana Karl Marx (The Communist Manifesto), tetapi politik lebih kepada menjaga urusan rakyat secara keseluruhan sebagai keutamaan dan tidak berkepentingan. Melihat kepada situasi politik semasa Negara, banyak yang kecewa, banyak yang tidak puas hati, banyak konfliknya dan lain-lain. Jadi timbul persoalan di sini yang jarang difikirkan oleh majoriti masyarakat Negara ini secara terbuka, “Dimanakah silapnya sistem politik Negara?”

Sebagai seorang yang kerdil dalam ilmu siyasah ini, saya hanya mampu memberikan beberapa pendapat mengenai masalah sistem politik Negara. Di luar sana ada banyak yang berilmu, ada yang memperjuangkan khilafah dikembalikan melalui Thalabun Nusrah (Hizbut Tahrir) dan ada juga beberapa individu yang lantang memperjuangkan nilai-nilai Islam diterapkan dalam politik Negara, dan pandangan mereka ini juga penting untuk didengari dan diberi perhatian. Bagi saya, punca kepada masalah politik ini hanya satu, iaitu sistem politik Negara adalah jauh dari landasan Islam yang sebenar. Apa jua masalah, jika tidak berpegang kepada agama maka, rosak dan binasalah golongan itu, seperti mana dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Surah an-Nisa’ ayat 115, yang bermaksud : “Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” Firman-Nya lagi, yang bermaksud : “Kemudian jika kamu berselisih di dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikanya kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Masalah pertama ialah menyamakan demokrasi dan syura. Demi Allah, demokrasi itu bukan syura dan syura bukan demokrasi. Demokrasi adalah kuasa majoriti yang membawa maksud, pandangan terbanyak akan diiktiraf sebagai satu undang-undang atau satu tindakan yang betul. Hal ini jelas bezanya dengan sistem syura yang diajar oleh Allah S.W.T melalui al-Quran, Surah al-Imran ayat 159, yang bermaksud : “ Dan bermesyuarahlah dengan mereka dalam sesuatu urusan.” Syura tidak mendengar suara terbanyak, tetapi mendengar hujah yang terbaik dalam menentukan sesuatu keputusan. Sebagai contoh, Negara yang terlalu mengagungkan demokrasi akan melahirkan banyak perkara maksiat dan haram kerana terlalu bergantung kepada suara terbanyak tanpa menggunakan hujah yang rasional dan rujukan al-Quran, hadis dan Sunnah. Selain itu, sistem politik negara juga terlalu mengagungkan demokrasi dan juga perundangan sedia ada sehingga ada yang berkata, “Saya tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan.” Atau “penggubalan undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan perlembagaan negara.” Ini adalah kenyataan dari golongan yang tidak meletakkan agama di tempat yang sepatutnya. Sepatutnya mereka berkata, “Undang-undang yang digubal, mestilah selari dengan nas al-Quran dan Sunnah.” Hal ini kerana, hukum itu hanyalah milik Allah dan barangsiapa yang menghukum bukan dari Allah maka dia akan dilaknat Allah S.W.T seperti mana firman-Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran, supaya kamu dapat menghukum antara manusia dengan apa yang Allah wahyukan kepada kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 105) Firman Allah lagi dalam Surah al-Maidah, ayat 47, yang bermaksud : “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang yang fasiq.”

Seterusnya adalah perpecahan parti politik sesama orang Islam. “Islam mewajibkan penyatuan antara puak-puak yang beragama Islam agar berganding bahu dan bekerjasama dalam mengangkat agama ini. Dengan perkataan lain, haram hukumnya menjuzukkan penyatuan ini sehingga terbentuk puak-puak yang bertelagah dan berpisah.” (Muhammad Athiullah, 2008, Etika Pejuang : Nilai dan Akhlak Dalam Strategi). Hal in berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-Aas daripada Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Barangsiapa mati dalam keadaan tidak berpundak di tengkuknya Bai’ah (janji setia), (dikira) mati dalam keadaan jahiliyah.” Sistem politik negara juga membenarkan banyak parti untuk bertanding di dalam pilihan raya, dan begitu juga dengan parti orang Islam yang juga berpecah. Hal ini menjadikan kuasa politik orang Islam mengecil dan umat Islam bertelagah sesama sendiri dalam merebut kuasa. Oleh itu, menjawab kepada persoalan berbilang jemaah dan kumpulan ini maka saya kemukakan satu pendapat dari Fadhilah al-Syeikh Muhammad Ibn Salih al-Uthaimin, “Tidak terdapat langsung di dalam al-Quran dan Sunnah yang mengharuskan berbilang jemaah dan kumpulan, sebaliknya terdapat nas daripada al-Quran dan sunah yang mencelanya. Firman Allah S.W.T Surah al-An’am ayat 159, yang bermaksud : “Sesungguhnyanya orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Allah akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).” Firman Allah lagi dalam Surah al-Rum, ayat 32, yang bermaksud : “Setiap kumpulan gembiran dengan apa yang ada disisi mereka.” Tidak syak lagi bahawa semua kumpulan ini bertentangan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah melalui firman-Nya, yang bermaksud : “Sesungguhnya umat kamu ini merupakan umat yang satu. Aku ini merupakan Tuhan kamu. Maka sembahlah Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 52). Lebih-lebih lagi jika kita melihat kepada kesan perpecahan ini, dimana setiap kumpulan sentiasa mengutuk dan memburukkan kumpulan yang lain dengan perkataan fasiq, boleh jadi sampai ke tahap yang lebih melampau. Oleh itu saya berpendapat bahawa perpecahan itu merupakan satu kesilapan.” Maka, jelaslah disini, bahawa umat Islam mestilah bersatu dan bukan berpecah seperti situasi politik sekarang yang menyebabkan umat Islam berpecah hanya kerana perbezaan ideologi. Bukankah ia satu perkara yang merugikan Islam?

Masalah seterusnya adalah dalam mentaati pemerintah. Sebagai Ahl Sunnah Wal Jamaah, maka wajib kita mentaati pemimpin dalam perkara yang makruf dan bukan kepada perkara maksiat. Sepertimana yang kita ketahui bahawa, rakyat sekarang sudah berani menentang pemimpin dan raja secara terang-terangan, mencerca dan sebagainya, dan ini jelas tidak pernah diajar dalam Islam. Hal ini jelas tidak selari dengan firman Allah S.W.T, yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 59). Terdapat juga hadis yang menyebut mengenai hal yang sama iaitu kewajipan dalam mentaati pemimpin “Barangsiapa yang mentaati pemerintah, sesungguhnya ia telah mentaati aku, dan barangsiapa yang mengingkari pemerintah, sesungguhnya ia telah mengingkari aku.” Maka jelas, pemerintah Islam wajib ditaati selagi ia mentaati perintah Allah. Terdapat juga kes di mana ada rakyat yang menyatakan bahawa mereka dizalimi oleh pemerintah dan pemerintah tidak berlaku adil dalam pemerintahanya maka bersabarlah di atas segala kezliman itu. Hadis Ibn ‘Abbas r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : “Sesiapa yang melihat daripada pemimpinya sesuatu perkara yang tidak disukainya, hendaklah ia bersabar. Sesungguhnya, barangsiapa yang berpisah daripada jemaah walaupun sejengkal lalu ia mati, maka matinya adalah jahiliyah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Harus juga diingat, bahawa pemimpin yang zalim itu juga hasil dari perbuatan sesuatu masyarakat. Hal ini di jelaskan oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Syura, ayat 30 yang bermaksud : “Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar daripada kesalahan-kesalahan kamu.” Teringat pula kata-kata Abdul Malik bin Marwan : “Berlaku adillah kepada kami wahai rakyat. Kamu mahukan daripada kami kehidupan Abu Bakar dan Umar, sedangkan kamu tidak hidup dengan kehidupan mereka berdua untuk kami dan untuk diri-diri kamu sendiri.” (Sirajul Muluk)

Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh diketengahkan untuk memperbaiki sistem politik negara yang dilihat dikotori dan dicemari dengan nilai sekularisme yang terlalu mengagungkan sistem buatan manusia. Penulisan ringkas ini bertujuan membuka minda para pembaca agar sentiasa memantapkan iman dan ilmu sebelum kita sama-sama memantapkan sistem politik berteraskan Islam. Saya petik kata-kata Profesor Dr. Patzujuald “ Islam bukanlah semata-mata agama, tetapi ia juga adalah sistem politik.” Politik adalah satu bidang yang penting bagi menjaga kemaslahatan masyarakat terutamanya umat Islam. Pentingnya politik kepada masyarakat adalah seperti kata-kata Ali bin Abi Talib yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi “Manusia tidak akan dapat diperbaiki kecuali oleh pemimpin, sama ada baik atau jahat.” Tulisan ini hanyalah sekadar renungan dan ingin berkongsi ilmu yang tidak seberapa dengan pembaca sekalian. Jadi marilah kita sama-sama menilai kembali mengenai kepincangan sistem politik negara.