Thursday, September 25, 2008

Negara : Sebuah Realiti atau Emansipasi Manusia


Menurut Ibn Khaldun, manusia adalah makhluk sosial secara lahiriahnya. Manakala Plato berpendapat bahawa manusia adalah makhluk politik. Sigmund Freud pula menyatakan bahawa manusia adalah makhluk Psiko-seksual. Apa pun pendapat ilmuwan terdahulu mahupun sekarang, idea yang dibawa oleh mereka adalah sama iaitu manusia tidak dapat berdiri secara individu tetapi saling memerlukan antara satu sama lain dan tidak ada seorang manusia pun yang mampu untuk hidup secara bersendiriran di dalam dunia ini. Jadi, hubungan antara manusia ini akan mewujudkan sebuah masyarakat dan masyarakat ini pula akan mewujudkan sebuah organisasi bagi mewakili kepentingan mereka secara kolektif.

Hal ini dilanjutkan pula ke peringkat “inter” masarakat yang menghubungkan antara masyarakat dari satu tempat dengan masyarakat di kawasan lain dan membentuk satu hubungan yang kompleks iaitu, dari sudut sosial, ekonomi mahupun politik. (Max Weber, Class Status and Party). Maka hasil dari hubungan “inter” masyarakat ini maka tertubuhlah pelbagai institusi sosial seperti Jabatan, Kementerian dan sebagainya dan ini akan membentuk kepada satu institusi pemerintahan yang sistematik yang dinamakan negara. Kronologi mudah ini, adalah gambaran ringkas mengenai bagaimana sesbuah negara itu ditubuhkan. Pernahkah kita terfikir, mengapa negara itu wujud? Mengapa negara penting dalam sesebuah masyarakat? Atau lebih mudah, dari manakah datangnya idea mengenai negara itu sendiri?

Sebelum kita memulakan perbincangan mengenai negara ini, maka lebih afdal jika dimulakan dengan seorang individu yang banyak mengubah sistem sosial di seantero dunia dan cukup berpengaruh ideologinya iaitu insan yang bernama Karl Heinrich Marx. Beliau dilahirkan pada 1818 di bandar Rhenish, Trier dalam keluarga campuran iaitu bapanya berketurunan Yahudi dan emaknya beragama Kristian Ortodok.Walaupun berdarah Yahudi, tetapi beliau tidak terpengaruh dengan latar belakang tersebut kerana beliau tidak pernah dididik sebagai sebagai seorang Rabi’. Hal ini kerana beliau lebih banyak terpengaruh dengan jiran beliau, Baron Ludwig von Westphalen iaitu seorang pejuang kebudayaan dan pengikut politik yang progresif yang kemudianya menjadi bapa mertua beliau (Allen W. Wood, 2004).

Karya beliau yang paling masyhur adalah “The Communist Manifesto” yang menjadi dasar kepada perjuangan parti buruh yang berideologi sosialis di seluruh pelosok dunia. Antara kenyataan Marx yang paling menonjol dalam manuskrip tersebut adalah “abolition of state” yang membawa maksud penghapusan negara! Mengapa beliau begitu berani mengeluarkan pendapat sedimikian rupa? Hal ini kerana, menurut beliau penubuhan sebuah negara dikalangan masyarakat adalah satu bentuk penindasan terhadap golongan manusia.
“The Communists are further reproached with desiring to abolish countries and nationality...”
- The Communist Manifesto, 1848 -
Petikan di atas yang diambil dalam manuskrip beliau yang terkenal itu jelas menunjukkan idea beliau mengenai penghapusan negara. Dan petikan di bawah ini pula yang dipetik juga dari karya beliau “The Poverty of Philosophy” menjelaskan mengapa politik (kuasa yang membentuk kerajaan) tidak perlu kepada masyarakat :

“The working class, in the course of development, will subsitute for the old bourgeois society an association which will preclude classes and their antagonism, and there will be no more political power proper, since political power is precisely the official expression of class antagonism in bourgeois society...”

Menurut beliau, politik atau kuasa (kuasa yang umumnya membentuk kerajaan seterusnya sebuah negara) tersebut tidak perlu kerana, gambaran realiti yang dilihat beliau dalam masyarakatnya jelas menunjukkan bahawa permainan politik (golongan borjuis) adalah sebenarnya bersifat antagonis (jahat) dan politik seperti itu tidak sesuai berada didalam persekitaran masyarakat. Maka, penghapusan negara oleh Marx lebih merujuk kepada penindasan dari segi ekonomi golongan borjuis terhadap golongan buruh (proletrariat) dan juga kerana sifat antagonis politik borjuis pada ketika itu.

Itu adalah pandangan dari Karl Marx yang memperjuangkan ideologi sosialisme dan komunisme yang tidak memperjuangkan institusi negara sebaliknya melihat masyarakat sebagai satu unsur yang lebih universal seperti kata-kata akhir dalam Manifesto Parti Komunisnya iaitu “ Workers of all Countries, Unite!. Seterusnya, mari kita lihat dari perjuangan golongan yang bergelar “Anarchist”. Menurut pandangan pendokong ideologi Anarki ini, mereka juga seperti pendokong sosialis dan komunis di mana mereka tidak percaya kepada negara dan berjuang untuk menghapuskan institusi negara. Antara salah seorang “bapa” kepada gerakan ini dan juga seorang yang berpengaruh ialah Mikhail Bakunin yang berasal dari Russia.
Asas kepada kenyataan Bakunin mengenai penghapusan negara dipetik dari manuskrip tersebut di bawah :

“The State, however popular may be the form it assumes, will always be an institution of domination and exploitation, and consequently a permanent source of poverty and enslavement for the populace. There is no other way, then, of emancipating the people economically and politically, of .giving them liberty and well-being at one and the same time than by abolishing the State”
- Mikahail Bakunin, 1871, Politics and State-

Dari petikan tersebut, jelas dinyatakan bahawa penindasan dan eksploitasi manusia oleh manusia yang berlaku adalah berpunca dari institusi negara dan untuk menghapuskan segala penindasan tersebut maka negara perlu dihapuskan. Situasi ini juga dilhat melalui realiti yang berlaku dalam masyarakat sebenar pada masa tersebut di mana Russia yang ketika itu masih lagi diperintah oleh Tsar (pemerintahan beraja yang mengambil istilah Julius Cesar iaitu pemerintah Rom) jelas tidak mempedulikan masalah dan kesusahan rakyat ketika itu. Disebabkan hal-hal seperti itu, maka bangunlah golongan yang berhaluan kiri seperti Bakunin di Rusia yang ingin menamatkan segala penindasan tersebut dengan menghapuskan kuasa pemerintahan authoriti seterusnya institusi negara.

Dari dua tokoh yang memperjuangkan penghapusan negara, dapat dilihat bahawa, mereka sebenarnya individu yang terdesak dalam bertindak untuk mengatasi penindasan dikalangan masyarakat sekliling mereka dengan mengambil langkah yang ekstrim iaitu menghapuskan sama sekali institusi negara. Ini adalah pandangan dan pendekatan yang diambil oleh golongan yang sekular dan tidak meletakkan agama sebagai “cornerstone”(asas) dalam ideologi mereka. Tetapi bagaiman pula jika saya katakan bahawa, tidak wujud istilah “negara” di dalam al-Quran?? Adakah apa yang diperjuangkan oleh kedua-dua tokoh sekular ini mempunyai dasar yang benar berlandaskan ajaran al-Quran?

Menurut Dr. Manzooruddin Ahmed, dalam bukunya “Islamic Political System in Modern Age : Theory and Practice” menyatakan bahawa tiada istilah yang merujuk kepada “negara” di dalam al-Quran. Mengikut bahasa Arab moden, “Dawlah” adalah merujuk kepada negara iaitu digunakan pada perkata “Dawal al-Arabiyah” yang membawa maksud negara Arab. Tetapi merujuk kepada istilah “dawlah” dalam al-Quran ia tidak merujuk kepada istilah negara tetapi merujuk kepada kekayaan (sebenarnya membawa maksud pertukaran yang berlaku dari tangan ke tangan dalam konteks pertukuran komoditi atau barangan).

Selain itu, menurut Ustaz Rasul Dahri melalui ceramahnya, “Bahaya Tarekat Sufi/Tasawuf” ada menyatakan bahawa, segala perkara,istilah atau kenyataan yang tidak terdapat di dalam al-Quran maka ia tidak boleh dijadikan sumber kepada pegangan kita. Hal ini seterusnya diberikan contoh seperti kes ahli sufi yang tidak terdapat istilahnya di dalam al-Quran tetapi menjadi ideologi dan doktrin kpada ramai pengikutnya. Seterusnya, menurutnya lagi, perkataan sufi itu sendiri bukanlah istilah bahasa Arab (yang menjadi bahasa rasmi al-Quran) sebaliknya berasal dari perkataan Yunani Greek iaitu Philosophy (falsafah). Oleh itu sebarang perkaitan antara gerakan sufi dengan ajaran berlandaskan al-Quran dianggap tidak relevan dan boleh dikategorikan sebagai bidaah. Apa yang penting dijelaskan di sini adalah, istilah yang tidak terdapat di dalam al-Quran tidak boleh dipandang enteng untuk dijadikan asas kepada sistem yang berlandaskan Islam.

Konsep umum sesebuah negara adalah seperti individu yang tinggal dalam sesebuah lingkungan kawasan, mempunyai kerajaan yang sah dan bebas dari kuasa asing. Tetapi malangnya, konsep ini tidak wujud dalam teori negara mengikut Islam jika dirujuk kepada al-Quran yang menjadi panduan utama umat manusia. Jadi adakah apa yang diperkatakan oleh tokoh sekular tadi yang disifatkan menyeleweng dan jahat bertukar menjadi relevan dan benar? Jadi kenapa pula istilah dan praktis “negara” boleh wujud dalam masyarakat Islam? Adakah kita terikut dengan dakyah pemikiran sekular iaitu demokrasi, republik yang membentuk sebuah negara yang bersifat liberal?Atau adakah negara itu adalah satu contoh kepada emansipasi manusia?

Atau mungkinkah kita sebagai indidvidu tidak saling menegur sesama kita di dalam masyarakat sehingga membina sebuah persekitaran yang tidak kondusif dan “tercemar” iklimnya. Adakah kita mahu hidup dalam masyarakat yang iklimnya tercemar dengan fahaman sekular dan bersifat materialisme yang sring didokong oleh pemikir-pemikir barat serta pengaruh globalisasi media yang tiada sempadan? Kita harus sedar bahawa iklim masyarakat akan menentukan nilai dan pegangan oleh sesebuah masyarakat. Hal ini jelas ditrangkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran seperti di bawah:

“ Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israel melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya, amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”
- Surah al-Maidah, ayat 78-79 –

Wallahualam

Harus diingat, ini bukanlah satu kenyataan yg tidak lagi boleh disangkal, tetapi marilah kita bersama-sama berfikir dan mencari ilmu.Jadi marilah kita renungkan bersama dan bersama-sama mencari jawapan kepada persoalan ini.

Unity through diversity,
Power to society!